Sorting by

×

PERKUKUH PERANAN SPEAKER, TINGKAT KEYAKINAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 20 Disember – Peranan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sebagai pengadil yang bijak, adil dan berkecuali perlu diperkukuh bagi memastikan institusi legislatif terus dihormati serta memelihara keyakinan rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, dewan perlu berfungsi sebagai ‘house of democracy’ iaitu platform utama demokrasi yang diamalkan secara tertib dan menjadi medium pendidikan kepada pemimpin masa depan.

“Institusi legislatif sangat penting kerana ia melambangkan kedudukan kita dalam urusan perundangan negara.

“Speaker mesti dilihat sebagai pengadil yang adil, tidak memihak mana-mana parti politik, dan memastikan keputusan yang dicapai memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025 bertemakan ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat: Cerminan Kepimpinan Legislatif’ yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Speaker DUN Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad serta barisan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri.

Menurut Johari dalam era di mana kepercayaan awam terhadap institusi sering teruji, speaker berperanan sebagai benteng mempertahankan integriti dewan sebagai institusi semak dan imbang terhadap badan eksekutif.

“Setiap keputusan, teguran dan ruang bahas dari kerusi speaker menyumbang kepada usaha mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.

“Ahli Dewan tidak lagi mewakili parti atau kepentingan peribadi, tetapi membawa suara rakyat. Suara politik harus berada di luar dewan, di dalamnya kita bincang tentang rakyat tanpa mengira latar belakang parti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

860
Kongsi :
Previous post 5 PENCAPAIAN UTAMA WRUR BUKIT KATIL