
TAHA CAHAYA PERINTIS PROJEK PARKIR SOLAR DI UTC
BANDARAYA MELAKA 29 Disember – Taha Cahaya Sdn Bhd menjadi syarikat perintis dalam pelaksanaan projek ‘Integrated Solar Carpark’ bangunan Kerajaan Negeri di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka.
Projek dijangka bermula April 2026 itu mendapatkan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dan Lembaga Tabung Amanah Melaka (LTAM).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, projek itu memperkukuh kapasiti Tenaga Boleh Baharu negeri melalui pendekatan inovatif dengan memanfaatkan bumbung parkir sebagai sumber penjanaan tenaga solar.
“Pemeteraian Perjanjian Usahasama (JVA) Taha Cahaya Sdn Bhd ini selari dengan agenda peralihan tenaga dan pembangunan mampan negeri selain mengoptimumkan penggunaan ruang sedia ada secara lebih efisien.
“Penerapan konsep ‘Integrated Solar Carpark’ dalam perancangan bandar dan ruang komersial bukan sahaja menyokong usaha kelestarian alam sekitar, malah memberi nilai tambah kepada infrastruktur awam.
“Projek ini menjadi contoh pelaksanaan teknologi hijau secara praktikal memandangkan lokasi UTC itu sendiri pusat tumpuan orang ramai bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Usahasama antara Taha Cahaya Sdn Bhd, LTAM dan PTHM bagi Pelaksanaan Solar Integrated Carpark di Bangunan UTC, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Taha Cahaya Sdn Bhd Mohd Shahrul Sidin dan Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Noramirul Nizam Kamis.
Rais berkata projek berkapasiti 135.80 kilowatt peak (kWp) itu dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun 2026.
“Projek ini juga menyumbang kepada penjimatan kos elektrik bulanan UTC dengan anggaran tambahan sekitar RM1,600 sebulan sekali gus menyokong aspirasi pembangunan rendah karbon negeri.
“Penggunaan bumbung parkir bagi penjanaan tenaga solar merupakan pendekatan baharu yang wajar diperluaskan ke bangunan kerajaan lain yang berpotensi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


