
PELEBARAN JALAN ATASI KESESAKAN DI HADAPAN SK SERI BEMBAN
BEMBAN 5 Januari – Isu kesesakan lalu lintas di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bemban terutama pada waktu puncak berjaya ditangani menerusi pelaksanaan projek pelebaran jalan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Mohd Raziff Yakop berkata, penyelesaian itu adalah hasil tindakan susulan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas permasalahan berkenaan disuarakan ketika penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) tahun lalu.
“Laluan hadapan sekolah untuk ibu bapa mengambil anak hanya satu lorong dan agak sempit, keadaan itu menyebabkan berlakunya kesesakan pada waktu puncak.
“Susulan itu kita membuat permohonan semasa WRUR, seterusnya sebut harga dibuka pada Oktober 2025. Jika sebelum hanya muat sebuah kereta sahaja namun sekarang boleh dilalui dua buah kenderan pada satu masa,” katanya.
Menurut Raziff, selain pelebaran jalan dua hentian atau ‘pit stop’ turut disediakan bagi memudahkan urusan ibu bapa menghantar atau menjemput anak masing-masing.
“Hentian berkenaan terletak berhadapan Medan Selera Bemban dan di Taman Bemban Jaya. Alhamdulillah inisiatif dilaksanakan amat membantu mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.
“Bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan kita turut menyediakan laluan pejalan kaki menghubungkan sekolah dan pit stop yang memudakan ibu bapa serta murid SK Seri Bemban,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


