
OPERASI TAMAN INSPIRASI: MPHTJ INDAHKAN KAWASAN ‘BACKLANE’
AYER KEROH 15 Januari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) terus memperhebat usaha mengindahkan kawasan pentadbirannya menerusi Operasi Taman Inspirasi yang memfokuskan aktiviti pembersihan lorong belakang kediaman di taman-taman perumahan.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, operasi dilaksanakan juga bertujuan memastikan lorong belakang kediaman atau ‘backlane’ sentiasa dalam keadaan bersih, selamat dan terpelihara.
“Lorong belakang kediaman berpotensi menjadi tempat pembuangan sampah, sekali gus mewujudkan sarang pembiakan vektor jika tidak diselenggara secara berterusan.
“Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Tahun Melawat Melaka 2.0 dalam memastikan imej bandar kekal bersih dan kondusif untuk masyarakat serta pelancong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Sapiah, operasi yang dimulakan sejak tahun lalu itu akan diteruskan secara berperingkat di semua kawasan perumahan dibawah pentadbiran MPHTJ.
Jelasnya, sepanjang 2025 inisiatif itu dilaksanakan di 52 taman perumahan antaranya di Jalan SI 38 – Taman Saujana Indah, Bukit Katil dan Jalan Tembusu, Taman Merdeka.
“Manakala bermula 1 Januari, operasi sudah dijalankan di lapan kawasan perumahan antaranya di Lorong Utama 8, Taman Ayer Keroh Height, Jalan Zamrud, Taman Kerjasama dan Jalan Jasa Merdeka 15, Taman Thamby Chik Karim.
“Kami komited meneruskan usaha berterusan ini dengan kerjasama komuniti demi mewujudkan persekitaran bandar bersih, sihat dan lestari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


