Sorting by

×

LPM BERI SOKONGAN SOSIAL UNTUK PENDIDIKAN ANAK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 15 Januari – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menzahirkan keprihatinan terhadap sektor pendidikan Negeri Melaka menerusi bantuan berbentuk sokongan sosial.

Meskipun berfungsi sebagai agensi penyedia perumahan di Melaka, namun LPM berusaha memainkan peranan proaktif sebagai rakan komuniti yang prihatin dan bertanggungjawab pada pembukaan sesi persekolahan 2026.

Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin berkata, bagi sesi persekolahan tahun ini, pihaknya telah mengambil inisiatif menganjurkan dua inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu meringankan beban murid dan pelajar yang memerlukan.

Jelas beliau, antara inisiatif dilaksanakan adalah Program Sumbangan CSR Beg Sekolah yang menjadi antara program tahunan dianjurkan bagi membantu anak-anak penghuni rumah pangsa, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Residensi Rakyat (PRR) kembali semula ke sekolah dan penuh keyakinan dan semangat.

“Untuk tahun ini, LPM berbesar hati memberikan sumbangan kepada 250 murid dan pelajar yang merupakan penghuni di Rumah Pangsa Kampung Padang, Rumah Pangsa Pantai Peringgit, PPR Krubong, PPR Tehel serta PRR Tangga Batu.

“Tidak hanya itu, LPM juga turut menganjurkan Program Gunting Rambut khusus untuk penghuni rumah pangsa, PPR dan PRR dalam membantu meningkatkan keyakinan anak-anak memulakan sesi persekolahan baharu,” katanya.

Menurut TPr. Murad, selain CSR membabitkan program pendidikan, LPM juga turut melaksanakan pelbagai program komuniti lain bagi mengeratkan hubungan strategiknya bersama masyarakat.

“Antara inisiatif CSR yang dilaksanakan adalah Sumbangan Iftar Ramadan, Agihan Bubur Lambuk, Program Korban serta pelbagai program komuniti lain yang bukan sekadar bersifat sumbangan semata-mata, tetapi turut menekankan nilai kebersamaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan modal insan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post DR. AKMAL LETAK JAWATAN EXCO MELAKA
Next post PEMILIK HOTEL TULAR TAMPIL BERI PENJELASAN, NAFI AKTIVITI SONGSANG