
AB RAUF HORMATI KEPUTUSAN DR. AKMAL, PERTIMBANG TERIMA ATAU TOLAK PELETAKAN JAWATAN
AYER KEROH 15 Januari – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menghormati keputusan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mengumumkan mahu meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa minggu depan.
Beliau bagaimanapun memaklumkan masih belum menerima surat rasmi peletakan jawatan itu dan akan mempertimbangkan sama ada menerima atau menolak keputusan tersebut.
“Sebagai Ketua Menteri akan menunggu surat rasmi untuk mempertimbangkan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan beliau (Dr. Muhamad Akmal) dan ia tertakluk kepada perbincangan nanti.
“Saya juga akan meneliti dan menilai daripada sudut kaedah bagaimana untuk menguruskan isu ini dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Jelas Ketua Menteri, beliau juga menghormati cara Dr. Muhamad Akmal berkarya dengan ‘cara pemuda’ memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Terdahulu, pada ucapan dasarnya, Dr. Muhamad Akmal yang merupakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka mengumumkan hasrat meletak jawatan sebagai solidariti dan membawa suara keresahan akar umbi.
Beliau bagaimanapun menegaskan tidak akan meninggal jawatan dalam Pemuda UMNO dan akan terus memperjuangkan maruah dan prinsip akar umbi parti keramat Melayu itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


