Sorting by

×

TANAH WAKAF MAIM DIMANFAATKAN JADI PUSAT SUKAN MENUNGGANG KUDA

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Januari – Tanah wakaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di lot 1343 Kampung Air Hitam Darat, di sini, kini boleh dimanfaatkan umat Islam menerusi aktiviti menunggang kuda.

Ia selepas tanah seluas 1.49 hektar itu kini dibangunkan menjadi pusat tunggangan kuda yang dinamakan Tanjung Bidara Stable.

MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, pusat tunggangan kuda itu merupakan kerjasama pihak swasta yang dibangunkan bagi manfaat kepada penduduk, khususnya umat Islam di kawasan tersebut.

“Dengan adanya Tanjung Bidara Stable ini ia memberi peluang kepada masyarakat setempat mempelajari teknik tunggangan kuda dan membentuk sahsiah diri khususnya dalam aspek kesihatan fizikal dan mental.

“Aktiviti menunggang kuda ini juga boleh meningkatkan kekuatan otot dan keseimbangan serta kemahiran motorik, selari dengan saranan syariat Islam untuk terus menjaga kesihatan melalui aktiviti sukan sunnah,” kata kenyataan tersebut.

Menurut MAIM, kewujudan pusat tunggangan kuda itu menjadi satu lagi prospek tanah wakaf yang telah dibangunkan sebaiknya untuk kesejahteraan masyarakat beragama Islam.

“Terima kasih kepada seluruh pewakaf di Melaka. Semoga manfaat dan pahala wakaf ini berterusan selama mana harta wakaf dimanfaatkan,” kata kenyataan itu.

Tanjung Bidara Stable di Kampung Air Hitam Darat akan beroperasi setiap hari pada jam 8 pagi hingga 5 petang.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 011- 1979 380.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

940
Kongsi :
Previous post SETIAP INISIATIF DILAKSANAKAN PBT PERLU UTAMAKAN RAKYAT MELAKA