Sorting by

×

MPHTJ TERUS GEMPUR PENIAGA WARGA ASING TANPA LESEN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 17 Januari – Sebanyak 500 kompaun dikeluarkan dan pelbagai jenis barangan bernilai RM100,000 dirampas Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) hasil operasi terhadap perniagaan tanpa lesen khusus melibatkan warga negara asing sepanjang 2025.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap peniaga tanpa lesen dalam kalangan warga asing kerana terbabit dalam penjualan bahan seperti rokok dan minuman keras.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan tahun ini, khususnya di lokasi tumpuan seperti Eco Park, Ayer Keroh berhampiran projek pembangunan baharu dan beberapa kawasan komersial.

“Kita dapati ramai warga asing cuba berniaga secara haram di kawasan tersebut. Jadi tahun ini kita akan lebih kerap melaksanakan operasi gempur bagi memastikan kawasan ini bebas daripada peniaga haram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ dan Amanat Tahun 2026 yang disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin di Kompleks Melaka Mall, di sini, pada Khamis.

Sapiah berkata, MPHTJ juga mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga atau penjaja tempatan tanpa lesen dengan mengeluarkan notis peringatan.

“Untuk penjaja tempatan, kita keluarkan notis pertama, kedua dan ketiga, jika masih gagal mematuhi arahan, barulah kita keluarkan saman.

“Namun bagi penjaja warga asing, kita tidak akan beri sebarang kompromi dan terus ambil tindakan sitaan serta saman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post WUJUDKAN KOMPLEKS BATIK DI FELDA HUTAN PERCHA
Next post INOVASI PELAJAR UTEM CATAT KEJAYAAN DI NWPC 2026