
TAPAK BAZAR AIDILFITRI DAN PASAR RAMADAN KEKAL SEPERTI TAHUN LALU – MBMB
AYER KEROH 16 Januari – Lokasi dan jumlah pasar Ramadan serta bazar Aidilfitri bagi 2026 dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dikekalkan seperti tahun lalu.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata pada tahun 2026 kawasan pentadbiran MBMB mempunyai dua bazar Aidilfitri dan 19 pasar Ramadan.
Katanya, dua bazar Aidilfitri sama seperti tahun lalu, di Klebang dan Banda Hilir iaitu bazar ikonik Aidilfitri.
“Pasar Ramadan melibatkan seramai 1,665 peniaga, sementara itu Bazar Aidilfitri pula membabitkan 347 peniaga menjadikan keseluruhan peniaga 2,012 peniaga.
“MBMB telah memilih penganjur dan tapak berkenaan yang diiklankan serta mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shadan turut mengingatkan semua peniaga dan pembantu gerai makanan supaya mendapatkan suntikan tifoid sebelum memulakan operasi perniagaan.
“MBMB tidak akan kompromi dari sudut kesihatan dan keselamatan awam yang mana saya sendiri akan turun padang ke pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi memastikan semua peniaga makanan telah mendapatkan suntikan tifoid.
“Selain itu isu kebersihan juga ditekankan untuk menjaga keindahan sekitar bandaraya Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

