Sorting by

×

RANCAKKAN PROMOSI, BANTU CENDERAMATA MELAKA TERUS ‘HIDUP’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 18 Januari – Peniaga cenderamata di Bazar Kraftangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Dataran Pahlawan berharap agar Kerajaan Negeri dapat mempergiatkan usaha promosi bagi menarik lebih ramai pelancong ke lokasi berkenaan, khususnya pelancong luar Melaka.

Tinjauan Melaka Hari Ini di kawasan tersebut mendapati, aliran pelancong ke bazar kraftangan tersebut masih tidak sekata dan bergantung kepada musim cuti serta hujung minggu.

Menurut peniaga makanan tradisional, Ramli Embi, 64, walaupun sektor pelancongan negeri dilihat semakin rancak, namun ia masih belum menyeluruh dan hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

Jelasnya, produk kraftangan buatan tangan mempunyai potensi besar sekiranya dipromosikan secara berterusan menerusi platform digital dan program pelancongan negeri.

“Kalau ada promosi di media sosial atau dimasukkan ke dalam pakej pelancongan, ia boleh menarik lebih ramai pengunjung, sokongan Kerajaan Negeri bukan sahaja dapat membantu meningkatkan jualan, malah berperanan penting dalam memelihara kelangsungan warisan kraftangan tempatan.

“Kami harap ada perhatian khusus supaya bazar ini terus hidup dan menjadi tarikan pelancong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6289416707038187081
RAMLI Embi. Foto Afiq Mustaffa

Nada sama turut disuarakan peniaga, Nurliyana Kamaruldzaman, 36, yang berharap promosi lebih menyeluruh dapat diperkasakan dalam usaha memastikan peniaga kecil tidak tercicir daripada kerancakkan pelancongan negeri.

“Kita tahu Kerajaan Negeri meneruskan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan tahun ini pula adalah Tahun Melawat Malaysia 2026, jadi kita turut meletakkan harapan agar usaha promosi yang lebih agresif dapat dilaksanakan bagi memastikan Bazar Kraftangan MBMB, Dataran Pahlawan ini terus menjadi antara destinasi sokongan utama kepada ekosistem pelancongan Melaka.

“Jika ada promosi khusus daripada Kerajaan Negeri yang menonjolkan bazar ini sebagai destinasi wajib singgah, jualan kami pasti lebih meningkat,” katanya yang meneruskan legasi perniagaan datuk dan neneknya di situ.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

344
Kongsi :
Previous post UITM MELAKA KOMITED LAHIRKAN GRADUAN BERJIWA USAHAWAN
Next post TANJUNG MINYAK PALING RAMAI JADI MANGSA JENAYAH SIBER