
JOM JADI ‘ZOOKEEPER’ SEHARI DI ZOO MELAKA
AYER KEROH 18 Januari – Zoo Melaka menawarkan pengalaman unik kepada pelajar untuk merasai sendiri rutin sebenar sebagai seorang penjaga haiwan atau ‘zookeeper’ menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan sepanjang tahun.
Bahagian Jualan dan Pemasaran Zoo Melaka Ezuwan Mazelan berkata, program itu terbuka kepada individu berumur 15 tahun ke atas yang berminat menjalankan aktiviti khidmat masyarakat dalam persekitaran zoo.
Menariknya, beliau berkata, peserta akan dibahagikan kepada enam bahagian mengikut zon haiwan seperti harimau, badak, gajah, ‘petting zone’ serta kawasan keluarga antelop termasuk rusa dan zirafah.
“Peserta akan menjalani rutin sebenar seorang ‘zookeeper’ termasuk menyediakan makanan, membersihkan kandang serta membantu penjagaan haiwan di bawah pemantauan penjaga zoo berpengalaman,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Zoo Melaka.

Menurut Ezuwan, walaupun baru permulaan tahun 2026, program itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 10 kumpulan telah mendaftar.
“Penyertaan bukan sahaja melibatkan pelajar universiti, malah individu, kelab serta persatuan.
“Sebelum ini Zoo Melaka pernah menerima penyertaan sehingga 200 orang dalam satu-satu masa bagi satu program CSR khas,” katanya.
Untuk tempahan atau pertanyaan lanjut mengenai program CSR Zoo Melaka boleh hubungi +60 18-260 9063 atau +60 11-12852789.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


