Sorting by

×

PELANCONGAN MELAKA JANA RM14 BILION

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 19 Januari – Melaka terus membuktikan kejayaannya dalam sektor pelancongan apabila berjaya menggamit lebih 15 juta pelancong dan pengunjung sepanjang tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, impak limpahan kebanjiran pelancong itu menyaksikan ekonomi pelancongan bumi bersejarah ini terus melonjak dengan menyumbang sebanyak RM14 bilion kpada ekonomi negeri.

Bertitik tolak daripada itu, beliau berkata, pada tahun ini, Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 19 juta pelancong akan menjadikan negeri ini sebagai destinasi percutian keluarga.

“Dengan lebih 220 program pelancongan yang telah dirangka dalam kesinambungan Tahun Melawat Melaka 2.0, kita percaya sasaran ini mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut berbangga dengan pelbagai pencapaian diraih Melaka, antaranya pengiktirafan Malaysia Book of Records dan anugerah-anugerah lain melibatkan jabatan-jabatan, agensi-agensi dan anak-anak syarikat.

“Alhamdulillah juga apabila lima buah syarikat kini telah berjaya dikeluarkan daripada kategori ‘sakit atau ICU’ sekali gus mencatatkan berbaki tujuh sahaja lagi syarikat yang masih perlu diberi perhatian sewajarnya untuk menjalani proses pemulihan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post MELAKA SELESAI LEBIH 16,000 ADUAN DALAM SISPAA
Next post MELAKA ‘JUARA’ PENYUMBANG INISIATIF TERBANYAK