Sorting by

×

MELAKA ‘JUARA’ PENYUMBANG INISIATIF TERBANYAK

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 19 Januari – Melaka muncul sebagai negeri negeri penyumbang inisiatif terbanyak negara, khususnya melibatkan aspek penyampaian perkhidmatan awam.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu melayakkan Melaka menerima pengiktirafan pembaharuan penyampaian perkhidmatan awam melalui penerapan nilai H.E.M.A.T.

Jelas beliau, pengiktirafan itu melibatkan sebanyak 35 inisiatif antaranya, Kampung Digital Negeri Melaka; Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR); Pendigitalan Tapak Perkuburan Islam Negeri Melaka dan banyak lagi.

“Di bawah agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) pula, kita berjaya menjana penjimatan sebanyak RM13.5 juta setahun, di samping mempercepatkan urusan kerajaan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Maka, kepada semua ketua jabatan dan agensi, jangkaan saya jelas, RKB mesti diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam cara bekerja, proses yang lebih ringkas, keputusan yang lebih pantas dan hasil yang boleh dirasai rakyat seterusnya meyakinkan rakyat dengan sistem penyampaian kerajaan yang efisien

“Untuk ini, setiap proses dan prosedur sedia ada hendaklah disemak dan diperkemas serta ditambah baik secara berterusan agar tiada lagi alasan prosedur serta kelambatan tanpa justifikasi yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut berkongsi kejayaan membanggakan Melaka dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Jelas beliau, dalam sektor pendidikan negeri menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila 118 buah sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Inspirasi yang menunjukkan prestasi cemerlang, sekali gus satu lonjakan signifikan berbanding hanya sebuah sekolah pada tahun sebelumnya.

Lebih membanggakan, ujar beliau, Melaka juga berjaya mencatatkan sifar sekolah fokus dalam Kriteria Reformasi Sekolah, di mana tidak ada lagi sekolah yang memerlukan perhatian Kementerian Pendidikan untuk dipantau secara intensif, sekali gus mencerminkan tahap pencapaian pendidikan negeri yang berada pada landasan cemerlang.

“Sementara itu, dalam sektor kesihatan, saya sempat mengikuti perkongsian di media sosial yang memuji kecekapan dan layanan mesra petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Batu Berendam.

“Ini memberi gambaran jelas bahawa keupayaan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan awam dalam memenuhi keperluan rakyat semakin berkesan di peringkat pelaksanaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

312
Kongsi :
Previous post PELANCONGAN MELAKA JANA RM14 BILION
Next post 2026 JADI TAHUN PELAKSANAAN MELAKA