
PENGIKTIRAFAN PACU MBMB TERUS BERI PERKHIDMATAN TERBAIK
AYER KEROH 20 Januari – Pelbagai pengiktirafan yang diterima Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) termasuk peringkat ASEAN menjadi pemangkin kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk terus komited dalam menjadikan Melaka sebuah bandar raya yang lebih bersih, ceria dan berdaya huni.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pencapaian diterima menjadi pendorong kepada seluruh warga kerja PBT itu dalam meningkatkan prestasi kerja untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang.
“Pengiktirafan diterima ini adalah hasil usaha berpasukan semua warga kerja MBMB dan sokongan pelbagai pihak dalam membantu kami memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk setempat.
“Ini juga merupakan pendorong untuk kami lebih bersemangat menjaga keindahan Bandaraya Melaka. Malah ia juga dapat menyuntik semangat baharu untuk kami terus memastikan Melaka kekal sebagai bandaraya yang lebih baik, bersih dan ceria,” katanya.
Shadan berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuhkan Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Shadan, MBMB akan menjadikan anugerah dan pengiktirafan yang diterima sebagai penanda aras bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, selaras dengan aspirasi menjadikan Melaka sebuah bandaraya berdaya huni serta mampan.
“MBMB komited untuk memperkukuh inisiatif kebersihan, pengindahan bandar, penguatkuasaan serta perkhidmatan kepada penduduk demi memastikan kualiti hidup warga bandaraya terus dipertingkatkan,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, MBMB menerima Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik Kategori Bandaraya (Naib Johan) yang disampaikan oleh Ketua Menteri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


