Sorting by

×

MPAG PBT CEMERLANG KEMPEN KESIHATAN PERSEKITARAN KPKT 2025

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 20 Januari – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) diiktiraf sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Cemerlang Kempen Kesihatan Persekitaran KPKT Tahun 2025 serta Pengiktirafan Bintang Audit Teknikal, sekali gus membuktikan kecekapan pengurusannya dalam menjaga kesejahteraan rakyat.

Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pengiktirafan itu merupakan hasil kerjasama menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan warga MPAG dalam melaksanakan dasar dan inisiatif berkaitan kesihatan persekitaran.

Menurutnya, kejayaan MPAG meraih anugerah itu mencerminkan keberkesanan dasar-dasar yang digariskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam memperkukuh tadbir urus PBT.

“MPAG telah menjalankan pelbagai inisiatif melibatkan aspek kesihatan persekitaran di seluruh daerah Alor Gajah dan usaha ini telah dikenal pasti sebagai antara amalan terbaik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Terdahulu Saifuddin menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

TPr. Saifuddin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga MPAG atas komitmen dan dedikasi dalam memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kejayaan ini adalah milik bersama dan menjadi pemangkin untuk kami terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan masyarakat di Alor Gajah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post MPHTJ PASTIKAN PEMBANGUNAN SEIMBANG, MESRA OKU
Next post CUTI KHAS AWAL RAMADAN: PENJAWAT AWAM MELAKA TERHARU, HARGAI KEPRIHATINAN KETUA MENTERI