
‘MELAKA ATAPNYA TAK BOCOR’ – KM
AYER KEROH 19 Januari – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengulangi pendirian menghormati keputusan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.
Namun, beliau berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan tersebut kerana beliau masih belum menerima surat rasmi daripada Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri itu.
Jelas beliau, sebaik menerima surat, usul itu perlu dibawa kepada Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam memandangkan pelantikan dan angkat sumpah Exco adalah di bawah kuasa Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Bagaimanapun, Ketua Menteri menegaskan, keputusan peribadi Datuk Dr. Muhamad Akmal itu sama sekali tidak akan menjejaskan Kerajaan Negeri, sebaliknya pentadbiran beliau akan terus berjalan seperti biasa di bawah semangat Kerajaan Perpaduan.
“Kita menubuhkan Kerajaan Negeri ini dengan mengambil semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan walaupun secara dasarnya kita (Barisan Nasional) sudah mempunyai majoriti cukup untuk menubuhkan kerajaan.
“Jadi, apa dilakukan Dr. Muhamad Akmal adalah hak dan keputusan peribadinya memandangkan dia merupakan Ketua Pemuda Malaysia dan alirannya melibatkan suara orang muda.
“Jadi kita mengambil jalan untuk menilai keputusan tersebut dan ia tidak akan sesekali menjejaskan Kerajaan Negeri dan pentadbiran ini akan berjalan seperti biasa bak kata orang, segenggam garam jika dicampak ke laut, tidak ubah masinnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Tambah Ab Rauf, sebagai ketua negeri, beliau berpandukan kepada semangat berpasukan dan ia juga selari dengan ketetapan yang dizahir Presiden UMNO Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa tiada gerakan ‘tebuk atap’ sehingga akhir penggal.
“Maka, di Melaka, atapnya juga tidaklah bocor,” katanya berseloroh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


