Sorting by

×

MPHTJ PASTIKAN PEMBANGUNAN SEIMBANG, MESRA OKU

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 20 – Proses pembangunan seimbang yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turut melibatkan penyediaan akses dan kemudahan fasiliti awam mesra orang kurang upaya (OKU).

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pendekatan itu selaras dengan komitmen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan kebajikan serta keperluan golongan OKU sentiasa diambil kira.

“Kami di MPHTJ melaksanakan segala prosedur dan garis panduan khusus untuk golongan OKU terutamanya berkaitan fasiliti untuk keselesaan mereka

“Malah MPHTJ juga mewajibkan setiap projek pembangunan perlu menyediakan kemudahan OKU seperti parkir, tandas dan laluan pejalan kaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuhkan Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Sapiah berkata, pembangunan yang inklusif adalah keutamaan MPHTJ selain penyediaan kemudahan ini bukan sekadar memenuhi keperluan sebaliknya satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Dengan inisiatif dan komitmen diberikan ia diharap dapat menjadikan MPHTJ sebagai kawasan perbandaran yang mesra OKU dan berdaya huni untuk semua,” katanya.

Sementara itu Sapiah berkata, Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik Kategori Perbandaran (Johan) dan Anugerah PBT Prihatin yang diterima pihaknya adalah bukti komitmen semua warga kerja MPHTJ.

“Untuk menerima anugerah ini saya tidak jangka apatah lagi dinobatkan sebagai johan namun begitu ini adalah hasil kerjasama dan komitmen warga kerja MPHTJ termasuk rakan agensi yang terlibat.

“Kesempatan ini saya ingin menzahirkan terima kasih khususnya kepada Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri kerana sentiasa memberikan bimbingan kepada saya dalam menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post PENGIKTIRAFAN PACU MBMB TERUS BERI PERKHIDMATAN TERBAIK
Next post MPAG PBT CEMERLANG KEMPEN KESIHATAN PERSEKITARAN KPKT 2025