
MELAKA CATAT LEBIH 234 TAN SISA KITAR SEMULA SEPANJANG 2025
AYER KEROH 28 Januari – Inisiatif KITARecycle di Melaka berjaya mengumpul sebanyak 234.14 tan sisa kitar semula sepanjang 2025.
Angka berkenaan membuktikan kejayaan KITARecycle iaitu inisiatif dilaksanakan sebagai pemangkin perubahan ke arah amalan dan gaya hidup lestari dalam kalangan rakyat dan penduduk Melaka.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, angka itu 16 tan lebih tinggi berbanding 217.54 tan sisa kitar semula dikumpul pada tahun sebelumnya.
“Jumlah kutipan direkodkan ini mencerminkan peningkatan tahap kesedaran awam dan komitmen komuniti terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar melalui usaha pengurangan sisa dihantar ke tapak pelupusan, selari dengan aspirasi pembangunan bandar yang mampan dan berdaya huni.
“Sepanjang 2025, kategori kertas dan plastik mencatatkan kutipan tertinggi, masing-masing sebanyak 95.93 tan dan 40.61
tan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, SWM Environment amat berbesar hati dengan perkembangan positif ini dan akan terus komited menggalakkan masyarakat untuk memelihara kelestarian alam sekitar dengan menjadikan amalan kitar semula sebagai sebahagian daripada gaya hidup seharian.
Katanya, peningkatan statistik ini turut dipacu oleh sambutan memberangsangkan ahli KITARecycle yang menghantar barangan kitar semula ke fasiliti pengumpulan yang disediakan.
“Pusat Pandu Lalu KITARecycle (PPLK) di Taman Botanikal Melaka mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 63.38 peratus, dengan jumlah penerimaan 46.78 tan sepanjang 2025 berbanding 28.63 tan tahun sebelumnya.
“Ini membuktikan peranan fasiliti seperti PPLK semakin diterima masyarakat setempat kerana memudahkan akses penghantaran barangan kitar semula,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


