
KECEMERLANGAN MITC DIIKTIRAF 80 NEGARA
AYER KEROH 29 Januari – Kecemerlangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebagai lokasi penganjuran pelbagai acara besar termasuk bertaraf antarabangsa mendapat pengiktirafan menerusi The BrandLaureate The World’s Best Brand Awards 2025–2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MITC, Datuk Mohd Ariff Shah Abdullah Sani berkata, penganugerahan berprestij diraih MITC adalah bagi kategori Excellence Convention & Exhibition Centre.
Mohd Ariff berkata, anugerah yang diterima disifatkan sebagai hasil usaha berterusan dan komitmen tinggi seluruh warga kerja MITC yang konsisten meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperkukuh jenama pusat konvensyen berkenaan sejak mula beroperasi.
“Sesungguhnya anugerah ini adalah yang kami nanti dan harapkan dalam membuktikan keupayaan MITC sebagai lokasi penganjuran acara bertaraf antarabangsa.
“Sepanjang 24 tahun beroperasi ini adalah satu-satunya pengiktarafan berprestij diterima selain lebih membanggakan ia diiktiraf 80 buah negara,” katanya.
Terdahulu anugerah itu diterima beliau dalam majlis penganugerahan rasmi yang turut dihadiri Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut beliau, pengiktirafan itu dianggap sebagai hadiah istimewa kepada Kerajaan Negeri atas sokongan berterusan dalam memacu pembangunan sektor pelancongan, perniagaan dan ekonomi negeri.
“Ini hadiah kami di MITC kepada Kerajaan Negeri khususnya selain kami kekal komited untuk terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, memperluaskan jaringan Antarabangsa serta menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dan imej Melaka di persada dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


