Sorting by

×

KUMPUL SAHAM AKHIRAT, JUAL BARANGAN ‘PRELOVED’ BELANJA PELAJAR B40 MAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

JASIN 29 Januari – Tidak perlu menunggu tabungan sudah penuh atau memiliki wang menggunung baru tergerak untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Sebaliknya pelbagai alternatif boleh difikirkan bagi mengusahakan dana yang kemudian diagihkan kepada mereka memerlukan khususnya golongan B40 yang dihimpit kos sara hidup ketika ini.

Kemahuan mengumpul saham akhirat mendorong bekas pendidik ini untuk menjual barangan ‘preloved’ yang kemudian dibelanjakan bagi menampung kos membeli makanan buat pelajar daripada keluarga B40.

Bekas guru besar Pauziah Mat Ali, 62, berkata, bagi mengisi masa terluang selepas bersara dia bersama beberapa lagi rakan memilih untuk aktif dalam kerja-kerja amal khususnya membantu aspek kebajikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, usaha itu dilaksanakan menerusi penglibatan bersama Pertubuhan Sukarelawan Elit Negeri Melaka (ELIT) yang berpusat di Merlimau serta kolaborasi dengan Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Kami mengambil peluang untuk terus membantu masyarakat, terutamanya pelajar-pelajar B40 yang berdepan kekangan kewangan dalam menampung kos sara hidup harian.

“Menerusi usaha ini kami menjalankan jualan amal barangan ‘preloved car boot’ di beberapa lokasi yang diberikan secara percuma untuk kami berniaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Pauziah barangan yang dijual merangkumi pakaian dan keperluan terpakai masih elok, termasuk sumbangan daripada orang awam.

“Baju terpakai ini kami jual dengan harga serendah tiga helai RM10 dan tiga helai RM5 bagi pakaian kanak-kanak.

“Dana hasil jualan ini tidak dikutip melalui derma, sebaliknya melalui usaha niaga kecil-kecilan. Hasil yang diperoleh akan digunakan untuk membeli makanan dan diagihkan kepada pelajar B40,” katanya.

Menurut Pauziah, inisiatif berkenaan bermula pada penghujung Disember 2025 dan kini memasuki kali kedua pelaksanaan, dengan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Pemilihan penerima bantuan akan dibuat secara teratur melalui kerjasama unit hal ehwal pelajar institusi terlibat, termasuk perancangan mewujudkan sistem kupon makanan serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama pihak pengurusan pelajar.

“Kami bergerak secara berdaftar dan apa yang kami buat adalah untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran dengan telus dan berhemah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

313
Kongsi :
Previous post KECEMERLANGAN MITC DIIKTIRAF 80 NEGARA
Next post LAKSANA JUALAN RAHMAH MADANI DI KEDAI RUNCIT KECIL