Sorting by

×

LAKSANA JUALAN RAHMAH MADANI DI KEDAI RUNCIT KECIL

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KESIDANG 29 Januari – Melaka mencadangkan pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI diperluaskan ke kedai runcit kecil sebagai usaha memastikan lebih ramai pengguna, khususnya di kawasan kampung menikmati barangan keperluan pada harga lebih menjimatkan.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin berkata, cadangan itu telah dikemukakan sejak tahun lalu dan kini sedang melalui peringkat kajian serta perbincangan bersama pihak berkaitan.

Menurutnya, pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI di kedai runcit kecil memerlukan penelitian rapi, khususnya melibatkan mekanisme bayaran kerana peniaga kecil lazimnya berdepan kekangan modal dan aliran tunai.

“Untuk Jualan Rahmah, peniaga perlu mengemukakan dokumen jualan dan tuntutan bayaran, proses ini kadang kala mengambil masa yang agak panjang.

“Kedai runcit kecil mungkin tidak mampu menunggu lama kerana modal mereka terhad dan aliran tunai cepat terjejas. Jadi, sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kaedah bayaran perlu lebih pantas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Allex Seah berkata, sekiranya dilaksanakan, inisiatif itu akan memberi peluang kepada kedai runcit kecil di kampung dan kawasan luar bandar untuk turut serta dalam Jualan Rahmah MADANI, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.

“Hasrat saya, jika kampung ada kedai runcit, mereka juga diberi peluang untuk terlibat. Ini adalah satu pendekatan baharu yang boleh memberi manfaat kepada peniaga kecil dan pengguna,” katanya.

Katanya, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dan akan dibawa ke peringkat perbincangan lebih lanjut di peringkat kementerian.

“Pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI di kedai runcit kecil perlu mematuhi syarat sedia ada, termasuk penawaran harga barangan keperluan lebih jimat sehingga 30 peratus.

“Kita berharap cadangan ini dapat direalisasikan di Melaka pada tahun ini, tertakluk kepada persetujuan dan mekanisme pelaksanaan yang sesuai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

321
Kongsi :
Previous post KUMPUL SAHAM AKHIRAT, JUAL BARANGAN ‘PRELOVED’ BELANJA PELAJAR B40 MAKAN
Next post POLIS MELAKA TUMPAS SINDIKET PENIPUAN PELABURAN PALSU DIDALANGI WARGA CHINA