Sorting by

×

SEMINAR MARITIM PERBETUL NARATIF SEJARAH KESULTANAN MELAYU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

DUYONG 5 Februari – Seminar Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka Dalam Dunia Maritim yang diadakan di Auditorium Muzium Hang Tuah Center disifatkan sebagai inisiatif penting untuk memperbetulkan naratif sejarah negeri ini.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri Datuk Zaidi Attan berkata, seminar yang dianjurkan Institut Tun Perak itu sekali gus mengangkat kembali kehebatan sejarah maritim bumi bersejarah ini.

“Seminar ini mengumpul segala bentuk perbincangan berkaitan dengan Kesultanan Melayu Melaka.

“Dokumen Hukum Kanun dan Undang-Undang Laut Melaka turut digali oleh semua pakar-pakar yang memungkinkan menjadi dokumen Melaka untuk kehadapan dalam semua proses kajian.

“Seperti yang disarankan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, usaha ini bertujuan untuk mengangkat kembali kehebatan sejarah Melaka serta meluruskan fakta sejarah yang dibengkokkan dan ia telah dilaksanakan oleh pihak penyelidik dengan penuh dedikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Seminar Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka Dalam Dunia Maritim di Auditorium Muzium Hang Tuah Center, di sini, semalam.

Terdahulu, seminar yang bermula seawal jam 8 pagi itu disertai seramai 120 orang pelajar daripada Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjong, Melaka.

Dalam pada itu, Zaidi memaklumkan satu pameran manuskrip turut dirancang akan diadakan pada tahun ini bertujuan menonjolkan bahawa sumber sejarah Melaka tidak hanya bergantung kepada Sulalatus Salatin, sebaliknya merangkumi manuskrip asal yang diperoleh dari pelbagai negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post HEBAT: CAKNA PERMASALAHAN RAKYAT SECARA MENYELURUH
Next post HEBAT: ISU KEBERSIHAN, LESEN PERNIAGAAN PALING BANYAK DITERIMA MBMB