Sorting by

×

BANTUAN RAMADAN, SYAWAL RINGANKAN BEBAN 520 ASNAF DUN KESIDANG

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KESIDANG 5 Februari – Seramai 520 asnaf fakir dan miskin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang menerima sumbangan Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal bagi tahun 2026 melibatkan peruntukan sebanyak RM247,700.

Peruntukan itu disalurkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.

Menurut Allex daripada jumlah tersebut, seramai lapan orang merupakan penerima kategori asnaf fakir manakala 512 lagi adalah asnaf miskin.

“Data MAIM turut merekodkan seramai 909 isi rumah fakir dan miskin di DUN Kesidang yang layak menerima pelbagai bentuk bantuan zakat.

“Bagi bantuan persediaan Ramadan dan Syawal ini, setiap asnaf fakir dan miskin menerima sumbangan sebanyak RM150 yang diperuntukkan khusus untuk membeli barangan keperluan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal (Zakat Fitrah) Kepada Asnaf Fakir serta Miskin MAIM (2026/1447H) DUN Kesidang di Japerun Kesidang, di sini, hari ini.

Allex berkata, sumbangan diberikan oleh MAIM itu merupakan antara inisiatif berterusan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf, khususnya dalam membuat persiapan menyambut ketibaan bulan Ramadan yang bakal tiba.

“Saya sebagai wakil rakyat DUN Kesidang turut dijemput oleh pihak MAIM untuk menyampaikan sumbangan serta meraikan penerima bantuan di samping menyambut kedatangan Ramadan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan jumlah keseluruhan peruntukan zakat oleh MAIM bagi tahun 2026 di DUN Kesidang adalah sebanyak RM403,700.

“Peruntukan zakat ini merangkumi bantuan zakat fitrah serta bantuan kebajikan lain kepada golongan asnaf fakir dan miskin.

“Saya harap sumbangan MAIM ini dapat memberi manfaat serta sedikit kelegaan kepada penerima dalam menghadapi kos sara hidup semasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post STAM 2025: 13 CALON MELAKA PEROLEH MUMTAZ, GPN TERBAIK DALAM 5 TAHUN
Next post KADAR ZAKAT FITRAH MELAKA DIJANGKA MENINGKAT RM1 UNTUK M40, T20