
LALUAN PEJALAN KAKI, KANTIN BAHARU UNTUK WARGA SK SIMPANG EMPAT
TABOH NANING 11 Februari – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat menerima kemudahan kantin dan laluan pejalan kaki berbumbung baharu yang sudah siap dibina.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pembinaan kemudahan baharu itu dilaksakan atas faktor keselamatan berikutan kedudukan kantin lama yang berada bersebelahan cerun bukit.
“Lebih merisaukan berlaku runtuhan di cerun berkenaan, susulan perbincangan antara pihak berkenaan kita ambil keputusan untuk bina kantin baharu dan laluan pejalan kaki berbumbung demi keselesaan warga SK Simpang Empat khususnya murid-murid.
“Namun kita terpaksa korbankan kawasan padang kerana SK Simpang Empat sudah tidak ada rizab tanah lain bagi tujuan pembangunan baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, pembinaan kedua-dua kemudahan itu dibaiyai peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia berjumlah RM1.8 juta.
“Saya juga sudah melawat kemudahan baharu ini dan berpuas hati dengan kualiti kerja dilaksanakan. Insya-Allah sebagai Adun kawasan saya akan sentiasa melihat keperluan lain bagi keselesaan murid.
“SK Simpang Empat ada lebih 400 orang murid dan dianggap sebagai padat, jadi amat perlu untuk kita laksanakan pembangunan yang memberikan keselesaan serta menyediakan suasana pembelajaran berkualiti serta kondusif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


