
NOSTALGIA TIGA DEKAD, PASAR MALAM TAMAN BERTAM JAYA TERUS ‘HIDUP’
PAYA RUMPUT 11 Februari – Pasar Malam Taman Bertam Jaya yang beroperasi hampir 30 tahun di tapak lokasi yang sama terus menjadi antara nadi ekonomi rakyat tempatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, pasar malam tersebut mempunyai kira-kira 150 peniaga berlesen dengan sekitar 90 hingga 100 tapak setiap minggu.
Katanya, pasar malam yang diadakan setiap hari Selasa itu telah menjadi sumber rezeki peniaga yang bukan sahaja terdiri daripada anak jati DUN tersebut tetapi dari sekitar negeri Melaka.
“Pasar malam ini bukanlah yang terbesar dalam DUN Paya Rumput, namun pasar malam ini penuh dengan nostalgia yang mana hampir 30 tahun ‘hidup’ dan terus menjadi sumber ekonomi anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan Walkabout ke Pasar Malam Taman Bertam Jaya Sempena Karnival Demi Paya Rumput, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Muhammad Firdaus Shariff dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan; Keselamatan Kampung (JPKK) Cheng Perdana Norhashim Yusof serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata, lebih istimewa lagi pasar malam tersebut turut menjadi punca rezeki peniaga yang bukan sahaja dari Paya Rumput, malah turut datang dari Durian Tunggal dan Bukit Katil, sekali gus menjadikan pasar malam itu antara yang istimewa di Melaka.
“Di pasar malam Taman Bertam Jaya ini turut menjual pelbagai jenis makanan dan minuman serta barangan basah serta keperluan harian penduduk setempat malah berperanan penting sebagai sumber ekonomi rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


