Sorting by

×

PENERIMA RUMAH MESRA RAKYAT DI MELAKA DIMINTA TIDAK CULAS LUNAS PINJAMAN

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PAYA RUMPUT 11 Februari – Kerajaan Negeri meminta penerima skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang mempunyai tunggakan bayaran untuk tampil melunaskan tunggakan pinjaman.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tunggakan bayaran pinjaman itu berlarutan sejak 2002 sehingga kini dengan membabitkan jumlah melebihi RM2.5 juta.

Beliau berkata, pembayaran balik oleh penerima sedia ada adalah perkara asas yang amat penting kerana dana berkenaan akan digunakan semula oleh SPNB bagi membiayai pembinaan rumah baharu.

“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja memberi kesan kepada kewangan agensi terbabit malah secara tidak langsung menjejaskan peluang lebih ramai pemohon lain untuk memiliki kediaman sendiri.

“Setiap kali majlis penyerahan tawaran rumah diadakan, saya sentiasa merayu kepada penerima supaya menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman.

“Ini kerana apabila bayaran dibuat, SPNB akan mempunyai dana untuk disalurkan kepada kira-kira 12,000 pemohon di Melaka yang kini masih menunggu peluang memiliki RMR,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan surat tawaran dan menandatangani perjanjian Program RMR SPNB sempena Karnival Demi Paya Rumput di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Paya Rumput Perdana, di sini, hari ini.

Menurut Rais, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan skim perumahan rakyat itu dapat diteruskan secara mampan sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat pada masa hadapan.

“Kerajaan Negeri memahami terdapat penerima yang berdepan masalah kewangan namun menggesa mereka supaya berhubung dengan pihak SPNB bagi mendapatkan khidmat nasihat serta kaedah penyelesaian.

“Rumah ini adalah tempat kita berteduh dan didiami, oleh itu saya berharap penerima hari ini sentiasa mengingati bahawa masih ada lagi pemohon yang menunggu giliran untuk mendapatkan RMR daripada pihak SPNB,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

525
Kongsi :
Previous post ‘HOHO CRUISE’ DILANCAR 14 FEBRUARI, TEROKA MELAKA DARI PERSPEKTIF BERBEZA
Next post LALUAN PEJALAN KAKI, KANTIN BAHARU UNTUK WARGA SK SIMPANG EMPAT