
MELAKA ANJUR TAHLIL UNTUK BEKAS PEJUANG KEMERDEKAAN PADA 20 FEBRUARI
BANDA HILIR 18 Februari – Kerajaan Negeri akan menganjurkan program tahlil dan penyampaian sumbangan bagi memperingati bekas pejuang tanah air pada 20 Februari ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, majlis itu diadakan sempena Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu.
Menurut beliau, kebiasaannya Kerajaan Negeri menawarkan kemasukan percuma ke produk pelancongan terpilih pada tarikh tersebut, namun inisiatif itu ditangguh bagi menghormati Ramadan.
Oleh sebab itu, ujar beliau, program itu diganti dengan majlis tahlil yang dijadual berlangsung di Masjid As-Sa’adah Ujong Pasir, khusus untuk bekas perajurit terlibat sewaktu berjuang mendapatkan kemerdekaan.
“Untuk 20 Februari ini bersempena cuti umum Negeri Melaka, kita akan meraikan pejuang-pejuang kemerdekaan yang mana akan diadakan bacaan tahlil, penyampaian sumbangan dan majlis berbuka puasa.
“Dianggarkan kira-kira 200 orang bekas perajurit termasuk veteran polis dan tentera akan diraikan dalam majlis ini.
“Inisiatif ini sebagai tanda penghargaan dan mengenang jasa pejuang-pejuang terdahulu yang sanggup berkorban demi kedaulatan tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyaksikan persembahan tarian singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan mengagihkan limau kepada pengunjung di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad.
Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, penganjuran program berkonsepkan keagamaan itu juga selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MESRA) oleh Kerajaan Negeri.
Pada masa sama, ujar beliau, ia juga menjadi antara pengisian kerohanian yang diadakan sempena Ramadan, sekali gus menghormati bulan mulia yang dipenuhi dengan rahmat dan keberkatan.
“Untuk itu pelaksanaan kemasukan percuma 20 Februari ditangguhkan kepada 31 Ogos depan ini adalah sebagai penyesuaian strategik selain dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan.
“Selepas bulan Ramadan Kerajaan Negeri akan kembali merancakkan Tahun Melawat Melaka 2.0 dengan pelbagai program yang sudah dirangka sehingga hujung tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


