
INOVASI SAWIT KURANGKAN PENCEMARAN, POTENSI PEKEBUN KECIL JANA PENDAPATAN
Masa Membaca:3 Minit, 1 Saat
Oleh: Prof Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim
Pensyarah Universiti
Bahagian Biosumber Teknologi
Pusat Pengajian Teknologi Industri
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

SEBAGAI negara kedua terbesar yang aktif dalam industri kelapa sawit, Malaysia boleh mengamalkan inovasi hijau dengan memanfaatkan semula sisa industri mampu mengurangkan pencemaran akibat plastik serta mewujudkan sistem pengurusan biojisim lebih efisien.
Produk kelapa sawit banyak menyumbang kepada pembangunan negara, statistik 2024 menunjukkan jumlah pendapatan tahunan Malaysia bagi penghasilan dan pengeluaran produk berasaskan kelapa sawit adalah berjumlah RM109.3 bilion, diunjurkan akan meningkat sebanyak 9.8 peratus bagi tahun 2025 jika dibandingkan pada tahun 2024 (The Sun 2025 ).
Hal ini menunjukan peningkat permintaan yang tinggi terhadap produk kelapa sawit dan dijangka akan terus meningkat pada dari tahun ke tahun.
Walaupun peningkatan ini ada perkara yang positif buat Malaysia daripada sudut ekonomi, ia juga memberikan impak negatif kerana penghasilan sejumlah besar sisa biojisim daripada industri ini terutamanya tandan kosong buah kelapa sawit (TKBKS) masih kurang dimanfaatkan.
Hal ini kerana kegagalan menguruskan sisa dengan baik menyumbang kepada pencemaran alam sekitar, menurut Utusan Malaysia bertarikh 21 Mei 2024, 7 Juta tan sisa TKBKS dibiarkan mereput dilandang-ladang tanpa ada usaha untuk memanfaatkannya.
Justeru pelbagai pendekatan dan penyelidikan telah direncana serta dijalankan bagi menjadikan sisa biojisim ini sebagai satu bahan yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada industri kelapa sawit dan negara, antaranya adalah penghasilan produk selulosa terjana semua (STS) difabrikasi daripada TKBKS sebagai bahan alternatif kepada plastik konvensional.
STS boleh dihasilkan melalui proses pelarutan selulosa mengikut kondisi dan parameter tertentu sebelum dibentuk semula menjadi bahan baharu seperti filem nipis atau helaian yang lebih fleksibel, proses ini tidak sekali mengubah struktur asas selulosa malahan ia masih mengekalkan ciri biodegradasi dan kebolehbentukan yang tinggi serta mempamirkan kekuatan regangan yang baik.
Ciri-ciri menarik ini mampu meletakan STS menyerupai plastik konventional dan menjadikan ia berpotensi menjadi bahan pembungkusan mesra alam yang mampan, mempunyai nilai yang tinggi, mengurangkan kebergantungan kepada plastik konversional berasaskan petroleum serta menjana pendapatan tambahan bagi pekebun sawit.
Antara kelebihan yang dapat diperolehi daripada penghasilan STS daripada TKBKS adalah menggunakansumber semula jadi yang boleh diperbaharui, selain itu bahan yang mudah terurai secara semula jadi tanpa memberikan kesan negatif kepada alam sekitar.

Malah STS sesuai bagi menyokong bidang perubatan, tekstil dan penapisan air menerusi penghasilan barangan seperti pembalut makanan, beg pembungkusan, bekas pakai buang dan produk guna sekali serta menjadi pilihan yang lestari jika dibandingkan dengan plastik biasa.
Pengunaan STS daripada TKBKS bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran disebabkan plastik konventional, malah ia juga memberikan nilai tambah kepada industri kelapa sawit dalam menukar bahan buangan kepada sesuatu yang bernilai (from waste to wealth).
Walaupun pengunaan TKBKS sebagai bahan mentah bagi penghasilan STS mampu memberikan impak positif kepada negara dan alam sekitar, namun masih banyak cabaran yang perlu ditempuhi seperti kos yang tinggi selain kekangan teknologi bagi menghasilkan produk pada skala besar-besaran.
Sehubungan itu kerajaan diharap dapat menggubal dasar bagi menggalakkan lebih banyak penyelidikan yang turut melibatkan pihak industri dalam mengatasi cabaran yang sudah dikenal pasti.
Selain itu kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu ditingkatkan, sekali gus mengajak orang ramai untuk bersama-sama memainkan peranan penting dalam menggalakkan penggunaan bahan mesra alam sebagai alternatif kepada plastik.
Hanya dengan kerjasama daripada pelbagai pihak sahaja yang dapat merealisasikan penghasilan selulosa terjana semula daripada tandan kosong buah kelapa sawit, sekali gus membantu mengurangkan pencemaran akibat plastik disamping membantu pengurusan sisa industri sawit dengan lebih lestari demi membentuk masa depan yang lebih mampan dan mesra alam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
352


