Sorting by

×

ENAM BERADIK OKU BAKAL BERAYA DI RUMAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PENGKALAN BATU 9 Marc – Aidilfitri tahun ini bagi enam adik-beradik orang kurang upaya (OKU) menjadi amat bermakna apabila mereka bakal meraikannya di kediaman baharu.

Meskipun tidak diluahkan dengan kata-kata namun daripada riak wajah mereka mereka jelas amat gembira sejurus melangkah masuk ke kediaman berkenaan.

Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, rumah asal enam beradik berusia 45 hingga 64 tahun itu tidak lagi sesuai dihuni manakala perkarangannya dipenuhi barangan kitar semula dikumpul oleh mereka.

Beliau berkata, enam beradik tersebut sebelum ini disantuni Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin bersama wakil beberapa agensi yang bergotong-royong membersihkan kediaman mereka.

“Kesemua enam beradik itu sebelum ini terpaksa berteduh dalam sebuah khemah selepas kediaman lama terpaksa dirobohkan kerana terlalu usang dan daif.

“Prihatin dengan nasib mereka Yayasan DMDI bersetuju untuk membina sebuah rumah baharu dan usaha dilakukan itu turut mendapat perhatian pihak kontraktor apabila turut menawarkan harga lebih rendah berbanding pasaran.

“Alhamdulillah dalam masa 16 hari bekerja, rumah tiga bilik ini dapat disiapkan sepenuhnya dan mereka bakal beraya di rumah baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Kunci Rumah OKU Enam Beradik yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu di Bukit Palah, hari ini.

Menurut Mohd Ridhwan, pembinaan rumah itu adalah yang pertama dilaksanakan Yayasan DMDI demi memastikan tiada rakyat Melaka yang terpinggir.

“Harapan kami dengan adanya kediaman baharu ini kehidupan mereka lebih sempurna dan selesa seperti insan yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

260
Kongsi :
Previous post eDUN PACU TRANSFORMASI SIDANG DEWAN MELAKA
Next post AIDILFITRI: MELAKA BERI CUTI LANJUTAN, BANTUAN KHAS KEWANGAN RM500