Sorting by

×

AIDILFITRI: MELAKA BERI CUTI LANJUTAN, BANTUAN KHAS KEWANGAN RM500

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 9 Mac – Kerajaan Negeri bersetuju memberi cuti lanjutan Hari Raya Aidilfitri sehingga 24 Mac 2026 (Selasa), kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau bagaimanapun berkata, lanjutan itu hanya diberikan sekiranya 1 Syawal jatuh pada hari Sabtu, 21 Mac 2026.

“Semoga tambahan cuti ini memberi ruang kepada kita semua untuk pulang dengan lebih tenang, berkumpul dengan keluarga dengan lebih lama, dan meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan bersama insan tersayang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Tambahan RM500 kepada penjawat awam negeri seperti diumumkan pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026, hujung tahun lalu.

Beliau memaklumkan, bayaran itu akan disalurkan pada 11 Mac ini.

“Saya amat berharap bantuan ini dapat membantu saudara dan saudari membuat sedikit persiapan menyambut Aidilfitri.

“Ini adalah tanda penghargaan kerajaan negeri atas segala komitmen, dedikasi dan khidmat bakti saudara saudari dalam memastikan pentadbiran negeri Melaka terus bergerak maju dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10198
Kongsi :
Previous post ENAM BERADIK OKU BAKAL BERAYA DI RUMAH BAHARU
Next post RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA SAYANG RAKYAT PADA 28 MAC