Sorting by

×

AB RAUF SANTUNI PENIAGA DAN PENGUNJUNG PASAR RAMADAN SEMABOK PERDANA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DUYONG 10 Mac – Suasana Pasar Ramadan Semabok Perdana diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang meluangkan masa menyantuni peniaga dan pengunjung singgah mendapatkan hidangan berbuka, petang tadi.

Ab Rauf yang tiba sekitar jam 6 petang disambut mesra orang ramai yang tidak melepaskan peluang bersalaman serta merakam gambar kenangan bersama pemimpin nombor satu Negeri Melaka itu.

Antara pemimpin-pemimpin masyarakat yang turut hadir pada sesi walkabout Pasar Ramadan Semabok Perdana itu ialah Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Sepanjang walkabout pasar Ramadan sepanjang 500 meter itu, Ab Rauf dilihat singgah di beberapa gerai bagi melihat sendiri pelbagai juadah berbuka puasa yang dijual, selain bertanya khabar serta perkembangan perniagaan para peniaga di bazar berkenaan.

Beliau turut membeli beberapa juadah sebagai tanda sokongan kepada peniaga kecil yang mengambil peluang berniaga sepanjang Ramadan bagi menambah pendapatan keluarga.

Walkabout itu bukan sahaja menceriakan suasana, malah memberi peluang kepada Ketua Menteri mendekati rakyat serta melihat sendiri kemeriahan aktiviti ekonomi setempat sepanjang bulan Ramadan.

Pasar Ramadan Semabok Perdana merupakan antara lokasi tumpuan pengunjung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dengan pelbagai pilihan makanan tradisional dan moden yang menjadi pilihan untuk juadah berbuka puasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

253
Kongsi :
Previous post 650 ANAK PARLIMEN JASIN TERIMA BAJU RAYA
Next post KETUA MENTERI SERAH SUMBANGAN RAMADAN PARLIMEN KOTA MELAKA