
KETUA MENTERI SERAH SUMBANGAN RAMADAN PARLIMEN KOTA MELAKA
DUYONG 10 Mac – Kerajaan Negeri menyerahkan sumbangan bantuan Ramadan berjumlah RM15,000 yang akan disampaikan kepada 150 penerima terdiri daripada golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), mualaf, anak yatim serta ibu atau bapa tunggal dalam Parlimen Kota Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu diharap dapat membantu meringankan beban penerima selain menceriakan sambutan Ramadan mereka.
Katanya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela selaras dengan gagasan ‘Melaka Sayang Rakyat’ (MeSRa).
“Walaupun jumlahnya mungkin tidak besar, namun saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima dan menceriakan Ramadan ini.
“Tidak terhenti di situ, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) turut menyalurkan peruntukan lebih RM350,00 kepada masjid dan surau di Parlimen Kota Melaka.
“Peruntukan ‘one-off’ ini bertujuan bagi memastikan masjid dan surau terus hidup sebagai penyatuan ummah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Peringkat Parlimen Kota Melaka di Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah di sini hari ini.
Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta kenamaan lain.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta jemputan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut memaklumkan secara keseluruhan melalui Pejabat Ketua Menteri, sebanyak RM109,000 diperuntukkan kepada 1,090 penerima di kesemua enam Parlimen di negeri ini sempena Ramadan tahun ini.
“Hakikatnya, sepanjang bulan Ramadan ini pelbagai bantuan telah pun disalurkan kepada rakyat yang mana jika dihimpunkan keseluruhannya Kerajaan Negeri telah menyalurkan sehingga RM15 juta bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

