Sorting by

×

‘FREE MARKET’ BAWA SENYUMAN KEPADA ORANG ASLI MACHAP JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MACHAP JAYA 11 Mac – Penganjuran program Free Market Machap Jaya yang memasuki tahun ketiga terus memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan pakaian terpakai secara percuma.

Menerusi penganjuran program itu, orang ramai bukan sahaja boleh mendapatkan pakaian terpakai tetapi terdapat pelbagai barangan lain juga diberikan secara percuma.

Bagi masyarakat Orang Asli, Seri Manis Asing, 32, berkata, dengan adanya program Free Market itu dia bukan sahaja dapat berjimat malah menggantikan baju tiga anaknya yang telah lusuh.

“Meskipun baju-baju diberikan itu adalah baju terpakai namun keadaan masih elok dan tidak terjejas malah ada juga yang masih baharu.

“Walaupun ia percuma kami bebas memilih sendiri dan pastinya anak-anak gembira kerana dapat mencari baju yang mereka suka.

“Menerusi program ini juga ia dapat meringankan beban perbelanjaan kerana jika ingin beli baharu sudah pasti memerlukan belanja yang banyak,” katanya yang tinggal Kampung Orang Asli Machap Umboo.

Whatsapp image 2026 03 10 at 18.12.07
HEE Sem ketika menyantuni penduduk setempat memilih pakaian terpakai pada program ‘Free Market Machap Jaya’.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Ngwe Hee Sem memaklumkan inisiatif itu ia memberi manfaat kepada ramai penduduk khususnya golongan kurang berkemampuan termasuk Orang Asli.

“Kesemua barangan ini diberikan secara percuma oleh penyumbang daripada pelbagai pihak termasuk Wanita UMNO Machap Jaya dan Pergerakan Puteri UMNO Machap Jaya.

“Diharap dengan adanya inisiatif ini ia bukan sahaja dapat meringankan beban sekali gus mengukir senyuman dalam kalangan penerima,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berharap inisiatif itu diteruskan lagi pada tahun akan datang selain turut merancang diadakan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Machap Jaya pada April depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1051
Kongsi :
Previous post 3,880 PETAK PARKIR PERCUMA SEMPENA AIDILFITRI – MPJ
Next post BARU DUA BULAN, ORANG MELAKA RUGI RM11.78 JUTA JADI MANGSA JENAYAH SIBER