Sorting by

×

PERUNTUKAN BANTUAN PENDIDIKAN MAHASISWA ANAK MELAKA MENINGKAT RM240,000 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI BENDAHARA 11 Mac – Kerajaan Negeri membuktikan komitmen dan keprihatinan terhadap sektor pendidikan serta pembangunan mahasiswa anak Melaka menerusi peningkatan peruntukan Bantuan ‘Melaka Sayang Rakyat’ (MeSRa).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peningkatan terbabit menerusi Bantuan MeSRa Pendidikan Mahasiswa Anak Melaka iaitu berjumlah RM240,000 tahun ini berbanding RM70,000 pada tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan serta pembangunan mahasiswa anak Melaka terus diperkasa.

“Inisiatif ini selaras dengan gagasan MeSRa yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan rakyat termasuk golongan mahasiswa anak jati Melaka.

“Kerajaan Negeri sentiasa melihat mahasiswa anak Melaka ini sebagai aset penting dalam membentuk masa depan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Mahasiswa Anak Melaka Tahun 2026 di Kediaman Rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta barisan timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut berkongsi keprihatinan Kerajaan Negeri apabila menyediakan kemudahan penginapan serendah RM20 sebulan untuk mahasiswa anak Melaka di Mesir bagi kadar sewa bilik yang disediakan di Wisma Melaka, Mesir.

Tambah Ab Rauf, sepanjang tiga tahun bergelar Ketua Menteri, hampir RM70 juta telah dibelanjakan bagi memperkasa mahasiswa di negeri ini.

“Peruntukan itu telah digunakan untuk memperkasa fasiliti sukan, program pembangunan belia, bantuan khas mahasiswa serta pelbagai inisiatif lain demi kesejahteraan anak-anak belia Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

603
Kongsi :
Previous post GAGASAN ‘MESRA’ TOK RAOP SANTUNI 450 MAHASISWA ANAK MELAKA