Sorting by

×

TERUJA IFTAR BERSAMA ‘TOK RAUF’, MAHASISWA SYUKUR DAPAT DUIT RAYA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SERI BENDAHARA 12 Mac – Keterujaan jelas terpancar di riak wajah mahasiswa anak Melaka yang berpeluang iftar bersama pemimpin nombor satu negeri menerusi Majlis Berbuka Puasa YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Mahasiswa Anak Melaka Tahun 2026 di Seri Bendahara, di sini, semalam.

Penuntut Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, Muhammad Hariz Sharen, 22, berkata peluang iftar bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sangat bermakna dan menjadi antara kenangan manis baginya.

Mahasiswa semester lima yang berasal dari Bachang itu berkata, bukan hanya bersua muka, malah mereka turut menerima sumbangan duit raya yang sedikit sebanyak disifatkan dapat membantunya membuat persiapan Aidilfitri.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan ini. Kebetulan sekarang saya sedang bercuti semester selama sebulan, jadi dapatlah pulang ke Melaka dan hadir ke majlis ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama disuarakan Izzati Najwa Yasin, 23, pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengakui teruja kerana berpeluang bertemu Ketua Menteri secara bersemuka buat pertama kali.

Mahasiswa semester lima yang berasal dari Ayer Molek itu berkata, sumbangan duit raya yang diterima boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan menjelang Aidilfitri.

“Saya memang teruja kerana ini kali pertama dapat bertemu Ketua Menteri dan menghadiri majlis seperti ini. Sumbangan ini sangat bermakna dan boleh digunakan untuk membeli persiapan raya,” katanya.

Img 20260311 224448 891
GELAGAT mahasiswa anak Melaka yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Mahasiswa Anak Melaka Tahun 2026 di Seri Bendahara. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Turut menyuarakan kegembiraan, Zulhaily Irfan Zolkipli, 22, pelajar Fakulti Bio-Sumber Industri dan Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang menyifatkan majlis itu sebagai satu tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada anak muda yang bakal menjadi pewaris negara.

“Saya agak teruja kerana ini kali pertama dapat hadir ke program seperti ini dan gembira menerima duit raya daripada Kerajaan Negeri, terima kasih,” katanya yang berasal dari Bukit Baru dan kini menuntut di semester empat UniSZA.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post MELAKA BAWA SUARA ‘ABANG RIDER’ KE SURUHANJAYA EKONOMI GIG MALAYSIA
Next post PENGGIAT GIG MELAKA TABIK KEPRIHATINAN KETUA MENTERI