Sorting by

×

PENGGIAT GIG MELAKA TABIK KEPRIHATINAN KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERI BENDAHARA 12 Mac – Rata-rata penghantar makanan atau p-hailing di negeri ini menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan penggiat ekonomi gig khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Kesemua mereka bukan sahaja dihimpunkan dalam satu majlis penghargaan, bahkan turut diberikan sumbangan daripada Kerajaan Negeri.

Penggiat p-hailing, Mohamad Azizul Hassan, 38, berkata, bantuan yang diterima sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya selepas dia terlibat dalam kemalangan pada Julai tahun lalu sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong.

Katanya, sejak kejadian itu dia tidak lagi mampu bekerja seperti biasa dan memberi kesan kepada pendapatan keluarga kerana perlu menyara isterinya, Nur Adilah Abdul Rahman, 34, serta dua anak mereka yang masih kecil berusia tujuh dan dua tahun.

“Alhamdulillah, bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga. Sejak tidak bekerja memang pendapatan terjejas tambahan pula anak-anak masih kecil.

“Jadi, apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan untuk memanjangkan isu kebajikan golongan seperti kami ini ke pihak sepatutnya, kami sangat terharu dan berterima kasih,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Moreh YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Rider di Seri Bendahara, di sini, malam tadi.

Img 20260312 013538 457
MOHAMAD AZIZUL

Dalam pada itu, Abdul Aziz Ibrahim, 56, yang telah menjadi penunggang p-hailing sejak lima tahun lalu menyifatkan majlis yang dianjurkan itu benar-benar mencerminkan keprihatinan Ketua Menteri terhadap pencari rezeki dalam sektor ekonomi gig.

“Perhatian yang diberikan Ketua Menteri bukan sahaja membantu meringankan beban malah menjadi suntikan semangat kepada penunggang p-hailing untuk terus bekerja mencari rezeki,” ujarnya.

Img 20260312 013612 233
MUHAMMAD NURHIDAYAT

Muhammad Nurhidayat Hairul, 24, yang telah berkecimpung dalam bidang itu sejak tiga tahun lalu pula berharap kebajikan golongan penggiat gig akan terus diberi perhatian pada masa akan datang.

“Sokongan dan penghargaan yang diberikan Kerajaan Negeri amat bermakna buat kami yang menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

611
Kongsi :
Previous post TERUJA IFTAR BERSAMA ‘TOK RAUF’, MAHASISWA SYUKUR DAPAT DUIT RAYA
Next post ‘ACIK ZUL’ KONGSI REZEKI RAMADAN DENGAN ORANG TABOH NANING