
MASALAH HAID TIDAK TERATUR – NORMAL ATAU TANDA PENYAKIT?
Oleh: Dr. Norhayati Bt. Awan
Pakar Sakit Puan & Perbidanan
Oriental Melaka Straits Medical Centre

SETIAP wanita mempunyai pengalaman haid yang berbeza — ada yang kitarannya tetap setiap bulan, manakala ada yang tidak menentu atau terhenti buat sementara waktu. Walaupun haid tidak teratur sering dianggap perkara biasa, ia sebenarnya boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan tertentu yang perlu diberi perhatian.
APA ITU HAID TIDAK TERATUR?
Secara umum, kitaran haid yang normal berlangsung antara 21 hingga 35 hari, dengan tempoh pendarahan selama dua hingga tujuh hari. Kitaran dikira dari hari pertama haid hingga hari pertama haid seterusnya.
Haid dikategorikan sebagai tidak teratur jika:
• Datang terlalu kerap (kurang daripada 21 hari)
• Datang terlalu jarang (lebih daripada 35 hari)
• Berpanjangan melebihi tujuh hari
• Tidak datang langsung selama beberapa bulan
Kitaran haid mencerminkan keseimbangan hormon dalam tubuh wanita. Jika ia berubah secara ketara, terlalu lama, terlalu kerap atau disertai simptom luar biasa, keadaan ini tidak wajar diabaikan.
PUNCA-PUNCA UMUM HAID TIDAK TERATUR
Haid yang tidak menentu boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk gaya hidup dan masalah kesihatan.
1. Tekanan (Stres)
Tekanan emosi atau fizikal boleh menjejaskan keseimbangan hormon dan menyebabkan haid datang lewat atau terlepas beberapa minggu.
2. Perubahan Berat Badan
Penurunan atau kenaikan berat badan secara mendadak boleh mengganggu pengeluaran hormon estrogen dan progesteron. Lemak badan memainkan peranan penting dalam mengekalkan kitaran haid yang normal.
3. Senaman Berlebihan
Aktiviti fizikal yang terlalu intensif tanpa pengambilan nutrisi mencukupi boleh menyebabkan haid terhenti sementara (amenorea). Keadaan ini sering berlaku dalam kalangan atlet wanita.
4. Penggunaan Ubat atau Kaedah Perancang Keluarga
Pil hormon, suntikan atau alat perancang kehamilan (IUD) boleh mengubah corak haid. Sesetengah wanita mengalami haid yang lebih ringan, manakala ada yang tidak datang haid langsung.
5. Ketidakseimbangan Hormon
Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) merupakan antara punca utama haid tidak teratur dalam kalangan wanita muda. Masalah tiroid, sama ada terlalu aktif atau kurang aktif, juga boleh mengganggu kitaran haid.
6. Masalah Rahim
Keadaan seperti fibroid, endometriosis atau jangkitan rahim boleh menyebabkan pendarahan tidak normal atau berpanjangan.
BILA PERLU RISAU?
Tidak semua haid tidak teratur berbahaya. Namun, pemeriksaan lanjut amat digalakkan jika mengalami:
• Haid tidak datang lebih tiga bulan tanpa sebab
• Pendarahan terlalu banyak atau berketul-ketul
• Haid melebihi tujuh hari
• Sakit perut yang teramat ketika haid
• Pertumbuhan bulu berlebihan atau jerawat teruk
• Kesukaran untuk hamil
Gejala-gejala ini mungkin berkaitan dengan gangguan hormon atau masalah kesihatan lain yang memerlukan rawatan.
RAWATAN DAN CARA MENGATASI
Rawatan untuk haid tidak teratur bergantung kepada punca yang dikenal pasti. Secara amnya, doktor akan mencadangkan beberapa pendekatan berikut:
1. Penstabilan Hormon
Ubat atau pil hormon boleh membantu menstabilkan kitaran haid, terutamanya bagi kes ketidakseimbangan hormon atau PCOS.
2. Amalan Gaya Hidup Sihat
Pemakanan seimbang, senaman sederhana dan tidur mencukupi amat penting untuk mengekalkan fungsi hormon yang normal. Pengurusan stres juga memainkan peranan besar dalam kestabilan kitaran haid.
3. Rawatan Penyakit Asas
Jika berpunca daripada masalah tiroid, fibroid atau keadaan lain, rawatan khusus akan diberikan. Dalam kes tertentu, pembedahan mungkin diperlukan.
PEMERIKSAAN YANG DISARANKAN
Untuk mengenal pasti punca sebenar, pemeriksaan mungkin melibatkan:
• Ujian darah – menilai tahap hormon seperti estrogen, progesteron, LH, FSH dan hormon tiroid
• Imbasan ultrabunyi pelvis – memeriksa keadaan rahim dan ovari
• Pemeriksaan fizikal dan sejarah kesihatan
Pemeriksaan awal membantu memastikan rawatan diberikan secara tepat dan berkesan
LANGKAH PENJAGAAN DIRI
Beberapa langkah boleh membantu mengurangkan risiko haid tidak teratur:
• Kekalkan berat badan ideal
• Amalkan diet seimbang
• Elakkan diet ekstrem
• Kawal stres dengan aktiviti santai
• Dapatkan tidur yang mencukupi
KESIMPULAN
Haid tidak teratur bukanlah sesuatu yang luar biasa, terutamanya dalam kalangan remaja, ibu menyusu atau wanita menjelang menopaus. Namun, jika berlaku perubahan mendadak atau disertai gejala luar biasa, jangan berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan.
Haid yang teratur menandakan keseimbangan hormon dan kesihatan rahim yang baik. Tindakan awal bukan sahaja membantu mencegah komplikasi, malah penting untuk mengekalkan kesuburan dan kesejahteraan wanita dalam jangka panjang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


