
MELAKA SEDIA RM400,000 UNTUK SUMBANGAN AIDILFITRI 2026
LENDU 13 Mac – Sebanyak RM400,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meraikan umat Islam kurang berkemampuan serta golongan asnaf melakukan persediaan menyambut Aidilfitri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, agihan menerusi inisiatif Sumbangan Bantuan Perayaan Aidilfitri itu memberikan manfaatkan kepada 2,000 orang penerima seluruh Negeri Melaka.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM71,800 disalurkan kepada 359 penerima bagi Parlimen Masjid Tanah yang melibatkan warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan berkeperluan.
“Menjelang Syawal bakal tiba, saya faham bahawa persiapan Hari Raya bukan sekadar tentang baju baharu atau kuih raya. Hakikatnya, Aidilfitri membawa makna jauh lebih besar bagi meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, di samping menjadi detik dinanti-nantikan untuk berkumpul bersama anak-anak dan insan tersayang.
“Justeru, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan kegembiraan menyambut Syawal itu dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Perayaan Aidilfitri Parlimen Masjid Tanah Tahun 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana; Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka Halyjah Muhamad.
Ab Rauf berkata, majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri dianjurkan adalah sebagai manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri berpaksikan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MESRA) dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
“Adalah menjadi hasrat saya, bahawasanya tidak ada sesiapa pun yang boleh tercicir mahupun tertinggal daripada menikmati arus kemajuan negeri bertuah ini.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri terus memperkasa pelbagai inisiatif kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan, termasuklah bantuan sempena Aidilfitri yang disampaikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


