
‘SAYA BEKERJA DARI HATI’ – AB RAUF KONGSI RAHSIA TIGA TAHUN PACU KEJAYAAN MELAKA
BANDARAYA MELAKA 14 Mac – Tanggal 31 Mac 2026 genap tiga tahun Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mentadbir Melaka sebagai Ketua Menteri.
Dalam tempoh itu, lebih 200 pencapaian dan inisiatif berjaya dilakar, termasuklah menjadikan Melaka sebagai negeri contoh dalam pelbagai inisiatif rakyat, selain turut meningkatkan keterlihatan negeri ini di persada antarabangsa.
Berkongsi rahsia, Ab Rauf berkata, sebaik mengangkat sumpah sebagai ketua negeri, hanya satu prinsip dipegangnya iaitu bekerja dari hati.
Jelas beliau, di sebalik keikhlasan yang dizahirkan itu, ia membantu dirinya untuk memberikan yang terbaik sehinggalah berjaya mencetuskan pelbagai idea di luar kotak yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di negeri ini.
“Kalau kita bekerja dengan tenaga, pastinya kita tidak larat untuk lakukannya sebagai seorang manusia. Sebab itulah kita kena bekerja dari hati.
“Jika kita buat sesuatu dari hati dan ikhlas untuk pastikan rakyat mendapat faedah daripada pentadbiran kita, maka kita tidak akan pernah jemu mendapatkan ilham-ilham baharu untuk rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Moreh Ketua Menteri Bersama Media Melaka di sebuah restoran, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Melaka Siti Nurbaini Khairi; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad; Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Melaka Mazli Hamdan; Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) Amir Mamat serta kenamaan lain.
Menurut Ab Rauf, walaupun bukan semua dasar dan inisiatif yang dilakukan pada awalnya diterima ramai, namun berkat keikhlasan dan keyakinan untuk membina masa depan Melaka yang lebih gemilang, kesemua yang dilakukan kini terbukti membawa impak lebih baik kepada kemajuan Melaka.
Mengambil contoh ‘No Right Turn’ yang diilhamkannya, beliau berkata, pada awalnya ia kurang mendapat perhatian, sehinggalah inisiatif itu berjaya mengurangkan kesesakan di kawasan titik panas yang dikenal pasti, antaranya di Mahkota Parade.
“Begitu juga apabila saya menutup sebahagian kawasan Banda Hilir untuk Zon Bebas Kenderaan. Pada awalnya ramai yang marah, namun kini ia telah berjaya membawa limpahan kepada sektor perhotelan, kedai-kedai peruncitan hinggalah ke kawasan pelancongan.
“Malah, saya juga memindahkan peniaga-peniaga Uptown Pahlawan Walk daripada berniaga di celah-celah bangunan ke kawasan hadapan perkarangan Menara Taming Sari yang kini telah memberi pulangan baik kepada peniaga-peniaga kecil.
“Semua ini berjaya dengan izin Allah SWT yang membantu saya dalam berkarya, di mana impaknya kini dirasai seluruh rakyat Melaka yang banyak memberi sokongan terhadap pentadbiran saya,” ujarnya.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


