
PPSPM CAPAI 89 PERATUS SASARAN PENGUNJUNG SUKU PERTAMA 2026
DUYONG 14 Mac – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mencapai 89 peratus sasaran pengunjung yang ditetapkan bagi tempoh suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, pencapaian itu merangkumi prestasi bagi tempoh Januari hingga Mac, dengan baki sekitar 11 peratus lagi perlu dicapai bagi memenuhi sasaran ditetapkan.
Menurutnya, pencapaian itu dikongsi bersama kakitangan PPSPM sempena Perhimpunan Bulanan PPSPM yang diadakan bagi menilai prestasi organisasi serta merangka strategi penambahbaikan.
“Dalam perhimpunan ini kita berkongsi data pencapaian PPSPM bagi suku pertama tahun ini serta membincangkan strategi dan perancangan bagi memastikan sasaran satu juta pelancong menaiki Melaka River Cruise dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Perhimpunan Bulanan PPSPM Bagi Bulan Mac 2026 di Pejabat PPSPM Dataran Pengkalan Rama, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda serta kakitangan PPSPM.
Mengulas lanjut, Shahrul Azuar berkata, PPSPM turut memberi penekanan kepada pembangunan produk pelancongan lain termasuk Eco Cruise Sungai Linggi serta Eco Cruise Tasik Chinchin di Jasin.
“PPSPM akan terus memperkukuh perancangan bagi memastikan kelangsungan organisasi ini terus cemerlang pada masa hadapan.
“Selama dua dekad ini, kita menceritakan kejayaan dan sejarah PPSPM dan untuk 20 tahun akan datang kita mahu terus mencipta lebih banyak kejayaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


