
BANDA HILIR DIJANGKA JADI TUMPUAN AIDILFITRI INI
AYER KEROH 17 Mac – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjangkakan kehadiran pengunjung ke kawasan Banda Hilir mencecah lebih 50,000 orang sehari sepanjang hujung minggu sempena cuti Aidilfitri.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, jangkaan itu berdasarkan purata kehadiran pengunjung setiap kali hujung minggu yang bertembung dengan cuti umum.
Menurutnya, situasi cuti Aidilfitri yang jatuh pada hujung minggu serta tempoh cuti yang panjang dijangka menarik kehadiran orang ramai ke kawasan tumpuan pelancongan di sekitar Banda Hilir.
Katanya, peningkatan jumlah pengunjung itu berkemungkinan menyebabkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

“Jika kehadiran melebihi 50,000 orang sehari di sekitar Banda Hilir, ia berkemungkinan menimbulkan keadaan trafik yang agak sesak.
“Justeru, MBMB telah mengatur gerak kerja bagi memastikan aliran trafik di kawasan terbabit berjalan lancar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Shadan berkata seperti kebiasaan pelaksanaan zon bebas kenderaan di kawasan Banda Hilir akan diteruskan bermula Jumaat petang hingga Ahad bagi mengawal pergerakan trafik serta memberi keselesaan kepada pengunjung.
“Langkah inu turut membantu melancarkan pergerakan orang ramai di kawasan tumpuan pelancong sepanjang tempoh cuti perayaan tersebut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


