Sorting by

×

GERAN SEJATI MADANI KINI UNTUK PERTUBUHAN BELIA

Masa Membaca:56 Saat

MELAKA, 15 Mac – Kerajaan memperluas pemberian geran Sejati MADANI tahun ini kepada pertubuhan-pertubuhan belia bagi membangunkan aktiviti keusahawanan yang berpotensi menjana pendapatan persatuan masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata sebanyak RM250 juta diperuntukkan kerajaan khusus untuk tujuan tersebut bagi menggalakkan persatuan belia menceburi aktiviti keusahawanan dalam pelbagai bidang.

“Dahulu, geran Sejati MADANI diberikan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan organisasi seumpamanya. Tahun ini, ia diperluaskan kepada pertubuhan-pertubuhan belia pula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Abrar, Semabok, di sini hari ini.

Beliau berkata pihak Pendaftar Pertubuhan Belia (RoY) akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi memberi taklimat kepada pertubuhan belia di seluruh negeri mengenai cara memohon geran tersebut.

Katanya pihaknya menyasarkan kira-kira 2,500 pertubuhan belia akan mengambil peluang untuk memanfaatkan pemberian geran tersebut pada tahun ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk V.P. Shanmugam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

776
Kongsi :
Previous post PENGAYUH BECA MELAKA TERIMA SUMBANGAN HARI RAYA