Sorting by

×

SAYANG RAKYAT, INILAH MELAKA!

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 16 Mac – Gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjadi antara laungan yang menonjolkan keunikan negeri bersejarah ini.

Img 20260316 wa0014
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad turut bersama memasak kuih gunting bersama penjawat awam pada Majlis Keberkatan Ramadan Sempena Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Warga Kerja Kompleks Seri Negeri di Perkarangan Kompleks Seri Negeri. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) Norena Jaafar berkata, MeSRa sememangnya menepati apa yang telah dilakukan Kerajaan Negeri beberapa tahun kebelakangan ini dengan menjadikan rakyat tanpa mengira agama dan kaum sebagai nombor satu.

Jelas beliau, ia dapat dibuktikan menerusi pelbagai inisiatif yang telah dilancarkan, di mana kesemuanya ternyata memberi manfaat cukup besar kepada rakyat Melaka.

“Sayang Rakyat ini bukan baharu, sebaliknya sejak dahulu telah diamalkan dan kalau boleh lihat kebanyakan inisiatif yang diilhamkan di Melaka memang memberi manfaat kepada semua tanpa meminggirkan mana-mana rakyat.

“Hasilnya, Melaka telah mencapai indeks perpaduan yang tertinggi iaitu nombor dua dalam negara dan semua ini membuktikan keberkesanan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Keberkatan Ramadan Sempena Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra Ketua Menteri Melaka Bersama Warga Kerja Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Ab Rauf dan turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Img 20260316 134216 783
NORENA ketika melihat proses pembuatan kuih ros oleh penjawat awam pada Majlis Keberkatan Ramadan Sempena Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Warga Kerja Kompleks Seri Negeri di Perkarangan Kompleks Seri Negeri. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas mengenai majlis tersebut, Norena menyifatkannya sebagai lambang kesatuan penjawat awam di Seri Negeri apabila seluruh warganya bergotong-royong memasak pelbagai makanan tradisi.

Menurut beliau, makanan yang dihasilkan itu juga menyerlahkan semangat perpaduan di antara kaum menerusi masakan, di mana bubur lambuk dan lemang lebih kepada masyarakat Melayu, manakala kuih ros dan kuih gunting sinonim dengan masyarakat Cina dan India, selain satu menu istimewa sambal jawa yang membawa suara komuniti jawa di Melaka.

“Kesemua mereka kita bahagikan kepada lapan pasukan untuk memasak juadah yang ditetapkan seperti bubur lambuk, lemang, kuih tradisional dan lain-lain.

“Jadi budaya dan semangat bersatu-padu inilah yang mahu kita tonjolkan dalam kalangan penjawat awam negeri,” tambahnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post 3,600 BERAS MELAKA DIPASARKAN UNTUK SUKU PERTAMA 2026
Next post MASALAH HAID TIDAK TERATUR – NORMAL ATAU TANDA PENYAKIT?