
MPAG HIDUPKAN RAMADAN, KONGSI KEGEMBIRAAN SEMPENA SYAWAL
TABOH NANING 16 Mac – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengatur pelbagai aktiviti berunsurkan kebajikan bertujuan menyuntik keceriaan dan berkongsi rezeki bersama umat Islam sepanjang Ramadan.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, meskipun Ramadan sudah hampir tiba ke penghujung inisiatif menyantuni golongan kurang berkemampuan diteruskan lagi menerusi Program Sumbangan Kasih Ramadan MPAG.
Zulkiflee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning berkata, program itu melibatkan 50 penerima bantuan daripada lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.
“Mereka yang terpilih menerima sumbangan duit raya dan barangan keperluan harian, bagi DUN Taboh Naning sendiri ada 11 orang memperoleh manfaat hasil kepedulian MPAG terhadap kepayahan dilalui masyarakat kurang bernasib baik.
“Aidilfitri tidak lama sahaja lagi sekurang-kurangnya ada ‘duit daging’Â atau membeli barangan lain mengikut keperluan dan keutamaan penerima masing-masing,” katanya ketika ditemui pada lokasi terakhir Program Sumbangan Kasih Ramadan MPAG di Japerun Taboh Naning, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha MPAG Radzyma Mahat, Ahli-Ahli Majlis MPAG serta pemimpin peringkat komuniti DUN Taboh Naning.
Terdahulu konvoi Program Sumbangan Kasih Ramadan MPAG singgah di Jeparun Lendu, seterusnya ke Japerun Tanjung Bidara, Japerun Kuala Linggi, Japerun Ayer Limau dan berakhir di Japerun Taboh Naning.

Sementara itu Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer mengucapkan terima kasih kepada MPAG atas inisiatif yang dijalankan bertujuan berkongsi kegembiraan bersama golongan kurang mampu.
“Alhamdulillah atas inisiatif dilaksanakan MPAG yang bersama-sama Kerajaan Negeri menyantuni rakyat Melaka. Sekurang-kurangnya sumbangan dihulurkan menceriakan Aidilfitri setiap penerima dalam DUN Ayer Limau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


