
RUMAH PAM BERNILAI RM2.3 JUTA BERI MANFAAT KEPADA 80.9 HEKTAR SAWAH DI KLEBANG
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata projek di bawah inisiatif keterjaminan makanan hasil kerjasama Kerajaan Negeri Melaka serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu bertujuan meningkatkan sistem pengairan bagi menyokong pengeluaran padi tempatan.
“Isu kekurangan air yang dihadapi pesawah di sini berlarutan sejak bertahun-tahun dan sering dibangkitkan oleh wakil rakyat kawasan. Dengan siapnya rumah pam ini, ia dapat membantu menyalurkan bekalan air yang lebih stabil kepada kawasan sawah di sini.
“Kemudahan rumah pam ini juga siap lebih awal dan boleh digunakan untuk membekalkan air yang mencukupi kepada pesawah di kawasan terlibat sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi mereka sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat rumah pam air itu dengan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang Datuk Lim Ban Hong di kampung berkenaan di sini hari ini.
Dr Muhamad Akmal berkata pelaksanaan projek berkenaan merupakan fasa pertama bagi meningkatkan sistem pengairan di kawasan terbabit, sebelum pelaksanaan projek berskala lebih besar pada masa akan datang.
“Bagi fasa seterusnya, projek pengairan lebih besar bakal dilaksanakan yang akan mengambil sumber air dari Bukit Rambai dengan anggaran kos RM43 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun.
“Projek berskala kecil ini dilaksanakan sebagai langkah awal untuk membantu pesawah di Kampung Pinang sementara menunggu projek pengairan lebih besar itu siap,” katanya.
Sementara itu, Lim merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan serta agensi terlibat atas usaha menyiapkan infrastruktur pengairan tersebut lebih awal daripada jadual.
Beliau berkata projek itu pada asalnya dijadualkan siap pada Jun ini, namun berjaya disiapkan lebih awal pada bulan ini hasil kerjasama pelbagai pihak.
“Dengan siapnya infrastruktur sokongan pengairan ini, hasil tanaman padi pesawah dijangka meningkat. Sebelum ini 0.4 hektar sawah menghasilkan kira-kira 1.5 hingga dua tan padi, namun dengan sistem pengairan yang lebih baik, kita berharap hasil tuaian dapat meningkat kepada kira-kira 2.5 tan atau lebih.
“Ini bukan sahaja dapat meningkatkan bekalan beras di Melaka, malah membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus memberi peluang kepada mereka beralih kepada kaedah pertanian lebih moden,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


