Sorting by

×

LEBIH 10,000 TETAMU MERIAHKAN JAMUAN AIDILFITRI DUN AYER LIMAU

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER LIMAU 28 Mac – Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau berlangsung dalam suasana meriah apabila dihadiri lebih 10,000 orang tetamu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kehadiran tersebut melebihi jangkaan awal iaitu tidak melebihi 10,000 orang.

“Alhamdulillah seawal jam 5 petang sudah ada yang datang untuk beraya. Jamuan diadakan ini kita anggap sebagai hari keluarga bagi poghut Ayer Limau kerana mereka yang datang bukan sahaja bersama ahli keluarga tetapi sahabat dan rakan taulan.

“Paling penting jamuan ini berjaya mencapai matlamat apabila rakyat di DUN Ayer Limau khususnya dapat merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri dalam suasana harmoni sambil menikmati pelbagai juadah yang disediakan,” katanya.

IMG 20260328 WA0001
KEMESRAAN Hameed ketika menyambut poghut Ayer Limau. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Ayer Limau, malam tadi yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Yang turut hadir memeriahkan jamuan, Speaker DUN Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, lebih 30 jenis hidangan disediakan kepada tetamu yang hadir antaranya sate, rendang ayam dan cekodok.

“Meskipun kehadiran melebihi jangkaan namun kita bersyukur majlis berjalan lancar dan semua tetamu dapat menikmati hidangan dari 32 gerai makanan yang disediakan.

“Sambutan luar biasa ini secara tidak langsung mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat yang terus utuh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

774
Kongsi :
Previous post DUA PENGARAH SYARIKAT RUGI LEBIH RM800,000 DIPERDAYA ‘PHONE SCAM’