
RUMAH TERBUKA AIDILFITRI TERJEMAH MESEJ MELAKA SAYANG RAKYAT
AYER KEROH 28 Mac – Dalam agenda memajukan negeri menerusi pelbagai sektor baik pelaburan mahupun pelancongan, Kerajaan Negeri membuktikan pentadbiran pada hari ini komited untuk mengembalikan semula kemajuan dan pencapaian itu kepada rakyat.
Usaha itu diterjemah menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), di mana pelbagai inisiatif dan program telah diadakan bagi membolehkan rakyat merasai manfaat dan nikmat daripada pelbagai kejayaan yang diraih.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara program yang dianjurkan bagi menghargai seluruh rakyat Melaka adalah Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini.
Jelas beliau, menerusi majlis itu, Kerajaan Negeri menunjukkan tanda penghargaan kepada rakyat berbilang kaum dengan jamuan makanan secara percuma.
“Di dalam kita mempromosikan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan dan mesra pelabur, kita juga mahu memberikan pulangan kepada rakyat Melaka dalam suasana hari raya yang begitu meriah tapi sederhana.
“Ini kerana kita melihat bahawa rakyat juga perlu disantuni dan keprihatinan Kerajaan Negeri kepada rakyat ini diterjemahkan dengan semangat kebersamaan di antara pemimpin yang telah bertungkus-lumus memajukan Melaka dan memulangkan semula kebahagiaan itu kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026 di MITC, di sini, yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka yang telah memberikan kerjasama yang baik kepada Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran beliau sehingga pelbagai kejayaan dan pencapaian berjaya diraih.
“Kerjasama rakyat dalam memberikan kerjasama dan mendukung dasar-dasar Kerajaan Negeri ini banyak membantu kepada pelbagai kejayaan dan pencapaian yang kita raih dalam beberapa tahun ini.
“Maka, Kerajaan Negeri amat berterima kasih dan inilah tanda penghargaan yang mahu kita berikan untuk menyantuni rakyat, di samping mengeratkan hubungan di antara pemimpin dengan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


