
LEBIH 40,000 MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA SAYANG RAKYAT
AYER KEROH 28 Mac – Lebih 40,000 rakyat berbilang kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, walaupun sambutan tahun ini diadakan secara sederhana, namun kemeriahan itu tetap dirasai sepanjang enam jam majlis itu berlangsung.
“Menerusi majlis ini, kita menterjemahkan mesej Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), di mana, kita menyediakan sebanyak 60 gerai pelbagai juadah untuk dijamu kepada seluruh rakyat secara percuma.
“Pada masa sama, kita juga menggalakkan pelbagai pihak baik agensi kerajaan, swasta dan peniaga di negeri ini untuk bersama menyumbang dalam merealisasikan gagasan Melaka Sayang Rakyat ini dapat dirasai oleh semua yang hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026 di MITC, di sini, yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Selain jamuan makan, pengunjung yang hadir juga turut menerima duit raya sumbangan Kerajaan Negeri yang menjadi tradisi pada penganjuran rumah terbuka itu.
Pada masa sama, pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Senario, Yasser Atak, Roger Kajol, P. Radhi serta persembahan istimewa artis budaya Badan Warisan Seni Melaka.
Terdahulu, Ketua Menteri turut menyampaikan hadiah kepada pemenang ‘Teka Baju Raya Ketua Menteri’ anjuran MelakaFM, di mana, dua pemenang bertuah yang meneka paling tepat menerima hadiah berupa duit raya dan cenderahati raya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


