Sorting by

×

MELAKA PERHALUSI, TELITI KEPERLUAN BEKERJA DARI RUMAH

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 28 Mac – Kerajaan Negeri akan memperhalusi dan meneliti keperluan menguatkuasakan dasar Bekerja Dari Rumah melibatkan penjawat awam negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia memandangkan dasar berkenaan dilihat belum lagi sesuai dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat negeri, sebaliknya ia lebih sesuai untuk dilaksanakan sektor korporat.

“Jadi kita perlu melihat dengan lebih mendalam portfolio mana yang sesuai untuk melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah ini.

“Tidak semua sektor sesuai untuk Bekerja Dari Rumah kerana ada di antara amanah dan tanggungjawab pekerja memerlukan kehadiran secara fizikal bagi menyusun atur organisasi tersebut.

“Jadi, pada padangan saya ia perlu diperhalusi dan diteliti untuk kita melihat sejauh mana kebolehupayaan Bekerja Dari Rumah ini boleh dilaksanakan di peringkat swasta dan ia mungkin tidak berlaku di peringkat Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.

Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) secara berperingkat dan terpilih bagi penjawat awam di peringkat Persekutuan.

Jelas beliau, ia merupakan antara langkah tambahan yang sedang diteliti kerajaan, untuk memastikan bekalan tenaga terus dapat dinikmati rakyat sepanjang krisis tenaga global susulan konflik berlarutan di Asia Barat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post LEBIH 40,000 MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA SAYANG RAKYAT
Next post CUACA PANAS: MELAKA BERJAYA KURANGKAN 50 PERATUS PEMBAZIRAN AIR, TIDAK LAKSANA CATUAN