
CUACA PANAS: MELAKA BERJAYA KURANGKAN 50 PERATUS PEMBAZIRAN AIR, TIDAK LAKSANA CATUAN
AYER KEROH 28 Mac – Meskipun berlaku kemerosotan paras air di empangan utama Negeri Melaka susulan cuaca panas berterusan, namun Kerajaan Negeri tidak akan melaksanakan catuan air dalam masa terdekat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan maklumat yang diterima pada ketika ini, bekalan air Melaka masih mencukupi dan belum memerlukan perhatian serius untuk diambil tindakan.
Jelas beliau, keadaan itu juga bertitik tolak daripada kejayaan negeri ini berjaya mengurangkan kadar air tidak terhasil atau ‘Non-Revenue Water (NRW) sebanyak 50 peratus.
“NRW ini dapat dikurangkan pada kadar 50 peratus dengan mengurangkan tekanan air pada waktu malam, sekali gus dapat mengurangkan pembaziran air.
“Jadi, setakat ini kita belum lagi berada dalam keadaan memerlukan perhatian untuk catuan air dan sebagainya, namun saya akan terus mendapatkan maklumat daripada Badan Kawal Selia Air (BKSA) dari semasa ke semasa untuk mengetahui perkembangan semasa bekalan air di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri bagaimanapun berkata, sekiranya cuaca panas berterusan sehingga terus menjejaskan paras air di empangan utama, Kerajaan Negeri akan segera membuat pemakluman kepada rakyat bagi melaksanakan langkah tambahan yang perlu dilakukan bagi memastikan bekalan air terus mencukupi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


